PETALING JAYA – Gelagat seorang lelaki berperilaku seakan-akan sedang bergaduh secara bersendirian mendatangkan persoalan kepada pengguna media sosial.
Menerusi video rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik di Instagram Asal Gombak, kejadian dipercayai berlaku di sebuah stesyen pam minyak di Lingkaran Karak.
Pada mulanya, lelaki itu berjalan seorang diri seperti biasa namun tidak lama selepas itu dia menumbuk berkali-kali sambil bertindak menendang ‘sesuatu’.
Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut kembali berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Mungkin kita yang ilmu tak penuh di dada ni tak boleh nak ‘nampak’ kot.
Walau bagaimana pun, sentiasalah berhati-hati di mana jua anda berada. Kita pun tak boleh nak jangka perangai orang sekeliling kita ni,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai yang terhibur melihat video itu serta memuji gerakan ‘silat’ yang dilakukan lelaki tersebut.
“Tak kisahlah dia lawan siapa, janji dia menang,” komen Faizul.
“Habis kena ‘muay thai’ ‘benda’ tu dengan dia. Lutu siku semua dia bagi,” komen Mista.
“Kalau ilmu belum penuh di dada jangan harap korang boleh nampak. Bukan biasa-biasa ni,” komen Alwi. – KOSMO! ONLINE