BANGKOK – Sebatang pokok kelapa pandan kerdil berusia lima tahun di Thailand mempunyai tunas berbentuk seperti seekor naga yang mempunyai tujuh kepala, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Penduduk sebuah kampung di daerah Bueng Sam Phan, wilayah Phetchabun bergegas untuk menyaksikan kejadian aneh itu semalam.
Pokok luar biasa terletak di Kampung 3, Bueng Sam Phan itu menjadi tumpuan orang ramai.
Seorang penduduk tempatan, Daeng Sinthon, 65, mengaku tidak pernah melihat tunas bentuk aneh seperti naga yang tumbuh di antara pelepah pokok kelapa sebelum ini.
“Saya tidak pernah menemui fenomena seperti ini sepanjang hidup saya,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan kejadian itu, namun tidak memberikan penjelasan saintifik mengenainya, lapor laman berita KhaoSod. – AGENSI