fbpx
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama sebahagian mangsa penipuan umrah di Menara KPJ di sini, hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

Syarikat umrah viral lesap, 92 jemaah rugi lebih RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 92 jemaah umrah mendakwa kerugian mencecah RM506,559 selepas dipercayai ditipu sebuah syarikat pengendali pakej umrah yang giat mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

Syarikat berkenaan dikatakan menawarkan pakej murah dengan menggunakan selebriti sebagai duta, selain melantik ejen pemasaran untuk mempromosikan iklan pakej melalui platform TikTok dan Facebook bagi menarik minat orang ramai.

Namun, menurut pengadu, kebanyakan jemaah mendapati penerbangan yang dijanjikan tidak wujud selain tiada visa diuruskan untuk mereka.

Malah, ada yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas diberitahu penerbangan mereka tidak dapat disahkan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya hadir ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ untuk menyerahkan surat representasi agar siasatan terhadap syarikat terbabit dipertimbangkan semula.

“Kami percaya syarikat ini melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 (tipu), Seksyen 403 (menyeleweng dana) serta Seksyen 405 hingga 409 (pecah amanah).

“Sebahagian pengadu telah menerima maklum balas bahawa kes mereka dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Namun, tindakan sekadar menggantung atau menarik balik lesen syarikat dianggap tidak adil kepada mangsa kerana kerugian mereka melibatkan ribuan ringgit.

“Ini bukan soal melancong ke luar negara untuk bercuti, tetapi melibatkan hasrat menunaikan ibadah di Tanah Suci,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa syarikat itu pernah berjanji secara langsung di media sosial untuk memulangkan semula wang jemaah, namun selepas direman pihak berkuasa, pengarah syarikat terbabit terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

Susulan itu, MHO merayu agar siasatan dipercepatkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pendakwaan.

“Kami juga mahu pihak polis menyiasat sama ada wang yang dibayar jemaah digunakan untuk tujuan sebenar seperti hotel, penerbangan dan visa atau diseleweng untuk kegunaan lain,” katanya.

Sehingga kini, pejabat syarikat berkenaan dilaporkan telah ditutup manakala jemaah hanya mampu membuat laporan polis sebagai jalan terakhir menuntut keadilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI