PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 membuktikan komitmen Kerajaan untuk memastikan lebih 1.2 juta rakyat yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU itu adalah manifestasi jelas bahawa kerajaan tidak mahu membiarkan pekerja gig dipinggirkan tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah.
Katanya, dengan kelulusan itu, pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial yang lebih sistematik.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang penuh dedikasi dalam merangka undang-undang ini.
“Ini jelas membuktikan kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada sesiapapun yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, industri gig bukan lagi fenomena sementara kerana ia menjadi nadi baharu ekonomi negara.
Sektor itu melibatkan bidang seperti p-hailing, e-hailing, freelancer digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Namun, realitinya sebelum ini ramai pekerja gig masih bekerja tanpa jaminan keselamatan sosial, hak dan suara yang jelas dalam sistem perundangan,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid akan berusaha untuk memastikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia, menyelaras dan memantau perkembangan sektor tersebut secara khusus.
“Suruhanjaya ini akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian ini termasuk pembekal, pembeli, penyedia khidmat, penyedia platform, pekerja gig pengguna dan pemacuan pengembangan ekonomi perkongsian ini secara keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE