JAKARTA – Permintaan untuk ubat cacing di farmasi-farmasi di Purwokerto, dalam wilayah Jawa Barat melonjak sejak kebelakangan ini, lapor portal berita Tribun Banyumas kelmarin.
Permintaan tinggi itu berpunca daripada kebimbangan orang awam selepas tersebarnya berita seorang kanak-kanak di Sukabumi meninggal dunia dengan tubuhnya dipenuhi cacing gelang pada bulan lalu.
Kanak-kanak berumur bawah lima tahun itu meninggal dunia selepas berjuang melawan jangkitan cacing gelang yang teruk. Dia dilaporkan dirawat selama sembilan hari di Hospital Umum R Syamsudin, Kota Sukabumi, Jawa Barat.
Beberapa farmasi mengaku kehabisan stok akibat peningkatan permintaan tersebut.
Pemilik Farmasi Samudra Farma, Yoga Bagus Wicaksana berkata, dalam sehari pihaknya menerima antara 10 hingga 15 orang yang datang khusus untuk membeli ubat cacing.
“Pada kebiasaannya, hampir tiada orang yang beli ubat cacing.
“Namun, sekarang setiap hari antara 10 hingga 15 orang datang mencari ubat ini,” kata Yoga.
Yoga menjelaskan, harga ubat cacing di pasaran berbeza-beza, bermula daripada 5,000 rupiah (RM1.29) hingga 50,000 rupiah (RM13) setiap pek bergantung kepada jenis dan jenama. – AGENSI