PETALING JAYA – Sempena cuti hujung minggu panjang berikutan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada esok dan 1 September ini.
PLUS dalam kenyataannya menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan perjalanan yang lebih selesa dan lancar.
“Tidak seperti musim perayaan apabila tarikh perjalanan ditetapkan lebih awal, PLUS akan terus memantau aliran trafik harian.
“PLUS juga akan mengemas kini nasihat tempoh puncak secara berterusan bagi memastikan pengguna menerima panduan perjalanan paling relevan secara masa nyata,” katanya.
Selain itu, PLUS turut memperkenalkan penambahbaikan dalam aplikasinya, MyPLUS-TTA bagi membantu pengguna merancang perjalanan pada hari-hari puncak di luar musim perayaan.
Dengan ciri baharu itu, MyPLUS-TTA bukan sahaja boleh diakses pada musim perayaan seperti Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, malah tersedia pada hari-hari puncak terpilih termasuk Hari Kebangsaan.
“Berbeza dengan versi perayaan, terdapat ciri-ciri terbaharu MyPLUS-TTA iaitu simpanan laluan kegemaran di bawah fungsi Laluan Kegemaran (Favourite Routes) untuk akses lebih pantas dan perancangan perjalanan lebih lancar,” ujarnya.
PLUS berkata, paparan amaran masa nyata ditampilkan terus pada halaman hasil carian, sekali gus memberikan maklumat segera mengenai keadaan trafik.
“Selain itu, fungsi carian turut dipertingkat dengan pilihan ‘menu ke bawah’ bagi memudahkan pemilihan laluan dengan lebih cepat dan mesra pengguna,” katanya.
Orang ramai digalakkan memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS di https://bit.ly/3pO2PYs bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.
PLUS juga melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemasangan bendera gergasi, paparan mesej digital LED, pertandingan serta hiasan kreatif di 21 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah terpilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan orang ramai. – KOSMO! ONLINE