KUANTAN – Seorang penolong pengurus kontrak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan telefon bimbit bernilai RM3,999.
Tertuduh, Mohd. Sahir Mohamed Yusof, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima telefon bimbit jenis iPhone 8 Plus daripada seorang pengurus sebuah syarikat di Jalan Bukit Ubi, di sini pada 23 Oktober 2018.
Tertuduh juga didakwa gagal melaporkan pemberian itu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Suriawani Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd. Najid Husain.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September ini. – KOSMO! ONLINE