PETALING JAYA – Perdana Menteri menyeru supaya semua pemimpin agama mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan serta melindungi hak golongan minoriti demi keamanan sejagat.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, seluruh dunia kini berdepan dengan cabaran kemerosotan kepercayaan terhadap usaha memperjuangkan nilai keadilan, kemanusiaan dan kebenaran.
“Pemimpin agama mesti memainkan peranan bukan sahaja di peringkat antarabangsa untuk mempertahankan nilai sejagat, tetapi juga di peringkat tempatan dalam melindungi hak minoriti.
“Cabaran kita bukan hanya ekstremisme dalam agama, tetapi juga ekstremisme dalam sekularisme, iaitu mereka yang menolak sebarang ruang untuk kepercayaan atau pegangan.
“Sikap tidak bertoleransi wujud di kedua-dua pihak, sama ada dalam bentuk Islamofobia ataupun dalam pandangan yang meremehkan tamadun lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua, di sini, hari ini.
Dalam ucapan itu juga, Anwar turut menyentuh isu penderitaan di Gaza yang sehingga kini masih menyaksikan pembunuhan kanak-kanak, kemusnahan rumah dan penderitaan berterusan.
Jelasnya, keadaan itu menuntut suara pemimpin agama untuk bersama-sama mempertahankan nilai kemanusiaan sejagat, tanpa terikat kepada kepentingan politik atau kepartian sempit.
“Sehingga sekarang kita masih melihat kanak-kanak dibunuh, rumah dimusnahkan dan penderitaan berterusan. Tapi di mana suara dunia? Di mana suara kemanusiaan?” soalnya.
Pada ucapan sama, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kebencian kaum atau agama.
Beliau berkata, langkah tegas perlu diambil bagi mengelakkan perpecahan yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat, seperti yang berlaku di beberapa negara jiran apabila perbezaan kecil akhirnya mencetuskan konflik.
“Kita percaya pada demokrasi dan kebebasan. Tetapi saya tegaskan, jika ada pihak cuba menimbulkan huru-hara atau menyebarkan kebencian terhadap kaum dan agama lain, kerajaan akan bertindak tegas.
“Kita tidak boleh membenarkan keluarga dan komuniti dirosakkan oleh perpecahan sebegini,” katanya.-KOSMO! ONLINE