KUALA LUMPUR – Hasrat pembangkang untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 akhirnya tinggal impian apabila undi belah bahagian semalam menyaksikan kerajaan menang selesa dengan majoriti 62 undi.
RUU yang dibahaskan hangat sejak kelmarin itu mendapat sokongan 125 Ahli Parlimen, manakala 63 menolak, dengan 32 tidak hadir serta seorang tidak mengundi.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas proses undian selesai dijalankan.
Terdahulu, lebih 15 Ahli Parlimen pembangkang bangkit memohon undi belah bahagian selepas sesi penggulungan RUU itu oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Permintaan itu dibenarkan Speaker sebelum sidang ditangguhkan 10 minit bagi memberi laluan Ahli Parlimen kedua-dua blok masuk ke dewan untuk mengundi.
RUU berkenaan sebelum itu diperincikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dan dibahaskan oleh 21 Ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Antara kebimbangan utama blok pembangkang ialah beberapa fasal yang didakwa memberi kuasa lebih besar kepada Menteri Kewangan.
RUU Perolehan Kerajaan 2025 ini mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal, dengan matlamat meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.
Ia juga bertujuan menoktahkan amalan rasuah, mengekang ketirisan wang rakyat serta memperkenalkan tindakan punitif lebih tegas terhadap pesalah tanpa mengira penjawat awam, bekas menteri, kontraktor atau mana-mana pihak.
Selain itu, RUU ini turut memperuntukkan penubuhan Panel Kajian Semula di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan serta penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan (MOF). – KOSMO! ONLINE.