fbpx
Mohd. Khalid.

PDRM tingkat kerjasama dengan sekolah, ibu bapa cegah gejala buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan tiga fokus utama sebagai hala tuju pasukan, dengan penekanan terhadap transformasi teknologi, pemerkasaan integriti dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, fokus pertama adalah melaksanakan transformasi ke arah kepolisan dipacu teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh operasi serta penguatkuasaan undang-undang.

“Saya menggesa seluruh jabatan dan formasi PDRM agar memanfaatkan teknologi AI secara optimum untuk memastikan PDRM bergerak seiring evolusi teknologi, sekali gus membentuk pasukan yang lebih dinamik, progresif dan berintegriti,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat PDRM, hari ini.

Beliau berkata, fokus kedua adalah memperkasa dan memperkukuh integriti PDRM melalui pemantapan budaya profesionalisme serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Fokus ketiga pula menekankan usaha kesejahteraan rakyat dan pasukan, termasuk memperluas program komuniti mesra masyarakat serta meningkatkan keberkesanan perkhidmatan polis yang responsif dan telus,” katanya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya memandang serius insiden buli sehingga menyebabkan kematian yang tular baru-baru ini.

“PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) akan bekerjasama lebih rapat dengan sekolah, ibu bapa dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi memastikan gejala buli dapat dikesan lebih awal,” katanya.

Beliau turut menyanjung peranan Cawangan Khas yang berjaya menumpaskan aktiviti keganasan, termasuk penahanan 39 warga Bangladesh dipercayai terlibat dengan kumpulan Gerakan Militan Bangladesh (GMB) di Johor dan Selangor.

Katanya, daripada jumlah itu, sembilan didakwa di bawah Kanun Keseksaan, 29 lagi diusir dan seorang ditahan di bawah Sosma untuk siasatan lanjut.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada 44 penerima, termasuk anggota Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa nahas helikopter PDRM di perairan Sungai Pulai, Johor pada 10 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI