ALOR SETAR – Pengorbanan dan air mata atlet pekak negara, Nur Andrina Zainudin, 20, akhirnya berbaloi apabila berjaya menghadiahkan Malaysia dua pingat emas pada Sukan SEA Pekak di Jakarta, Indonesia.
Atlet dari Pendang ini meraih emas bagi acara 100 dan 200 meter (m) dalam temasya berlangsung seminggu sehingga kelmarin.
Di sebalik kejayaan itu, atlet yang bernaung di bawah Persatuan Sukan Orang Pekak Kedah ini mengakui terpaksa mengharungi pelbagai cabaran yang hampir merobek semangat dan motivasinya termasuk berkaitan kekurangan dana untuk melangkah ke temasya itu.
“Kejayaan ini adalah untuk ibu bapa dan persatuan serta guru-guru sekolah saya yang sentiasa memberi sokongan termasuk bantuan wang ringgit. Tanpa mereka tidak mungkin saya mampu ke sini.
“Saya akui hampir putus asa dan menarik diri kerana saya pergi dengan keadaan serba kekurangan tanpa dana yang cukup apatah lagi penaja. Orang di belakang saya membantu,” katanya melalui penterjemah ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini kelmarin.
Setelah sebulan berjauhan dari ahli keluarga termasuk terpaksa menjalani sesi latihan di Terengganu sebelum berangkat ke temasya sukan itu, atlet ini pulang ke Kedah.
Kontinjen Malaysia menyapu bersih 10 emas dalam temasya Sukan SEA Pekak 2025 itu dan Nur Andrina merupakan wakil tunggal dari Kedah.
Ia adalah kemenangan kedua Nur Andrina setelah bergelar olahraga profesional yang pernah meraih gangsa dalam acara lompat kijang dalam Sukan Asia Pasifik Pekak, tahun lepas.
Nur Andrina menambah, walaupun lahir dan membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan apabila bapanya, Zainudin Lazim, 53, seorang pesawah dan ibu, Noorashikin Abu Hasan, 46, pembantu kedai, keluarganya sentiasa memberi sokongan.
“Tanpa mereka siapalah saya. Apabila elaun latihan saya kehabisan, ibu akan tambah dengan sumber pendapatan kami yang tidak seberapa kerana dia mahu saya teruskan kerjaya ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE