KUALA LUMPUR – New Straits Times (NST) hari ini melancarkan inisiatif ‘Heard the News’ yang membolehkan pengguna membaca dan mendengar artikel menerusi audio kod QR pada berita terpilih.
Inisiatif itu hasil kerjasama akhbar tersebut bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersempena ulang tahun ke-180 NST bagi merapatkan jurang antara media cetak dan digital.
Timbalan Pengarang Kumpulan Urusan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad, serta Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim berkata, inisiatif ini bukan sekadar satu inovasi teknologi namun ia merupakan komitmen untuk menjadikan berita boleh diakses oleh semua masyarakat.
Beliau berkata, dengan hanya mengimbas kod QR dalam akhbar NST atau menekan butang main secara dalam talian, pembaca boleh mendengar berita yang dibacakan sambil mengikuti teks bercetak atau digital.
“Inisiatif ini akan membantu rakyat Malaysia, khususnya mereka yang bukan penutur jati bahasa Inggeris, untuk meningkatkan kemahiran bahasa, memperluas kosa kata, dan memperkukuh kemahiran kefahaman.
“Ia juga membuka peluang kepada golongan yang mempunyai masalah penglihatan, kecenderungan pembelajaran secara audio, atau cabaran membaca, sekali gus memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam usaha menimba ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Heard the News’ di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Sementara itu, Editor Bersekutu (Kandungan dan Digital) NST, Ahmad Najmuddin Ahmad Najib, berkata beliau berasa terpanggil untuk memainkan peranan sebagai salah seorang penyumbang suara bagi artikel audio berkenaan.
Beliau berkata, berbeza dengan suara kecerdasan buatan (AI), artikel yang dibaca oleh keempat-empat editor NST dapat memberikan pengalaman baharu buat pendengar.
“Bagi saya kalau AI kan sahaja bacaan, mungkin tidak sampai pada pembaca. Jadi kami mempunyai tanggunhjawab untuk menyampaikan dengan intonasi yang rakyat mudah faham.
“Harapan kami agar inisiatif ini dapat digunakan sepenuhnya oleh pelajar, ibu bapa dan para guru untuk mengajar dan belajar bersama,” katanya.
Bagi guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Khairunnisa Mohd Amin berkata usaha ini sangat bagus diadakan lebih-lebih lagi untuk menarik minat para murid membaca suratkhabar.
Beliau yang merupakan guru perpustakaan dan media berkata, ia juga akan meluaskan literasi maklumat sekali gus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
“Saya akui murid sekarang lebih berminat nak perolehi maklumat menerusi media sosial berbanding suratkhabar.
“Tapi dengan adanya usaha ini, saya percaya murid-murid akan lebih berminat untuk membaca dan mendengar pelbagai berita dalam dan luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE