SANAA – Angkatan Bersenjata Yemen melancarkan operasi ketenteraan menyasarkan Lapangan Terbang al-Lydd Yafa di Israel, lapor portal berita Al Mayadeen semalam.
Angkatan bersenjata puak Houthi itu melancarkan serangan besar-besaran dengan menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik, Palestine-2.
Jurucakap Houthi, Brigedier Jeneral Yahya Saree berkata, operasi tersebut mencapai matlamatnya .
Serangan itu melumpuhkan aktiviti lapangan terbang tersebut dan memaksa jutaan penduduk Israel berlindung di tempat perlindungan bawah tanah.
“Operasi ini sebagai tindak balas terhadap kepungan, kebuluran dan pencerobohan berterusan Israel, khususnya selepas pengiktirafan antarabangsa baru-baru ini mengenai krisis kemanusiaan di Gaza,” katanya.
Kenyataan itu menggambarkan operasi berkenaan sebagai tanggungjawab agama dan moral kepada rakyat Palestin yang tertindas.
Tentera Yemen menyatakan, dunia Arab dan Islam mempunyai tanggungjawab untuk bertindak menangani pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran yang dilakukan Israel di Gaza.
Saree menekankan bahawa penderitaan rakyat Palestin menuntut tindakan nyata untuk menamatkan kepungan dan serangan Israel. – AGENSI