LIVERPOOL – Chelsea mahu terus ‘berperang’ dengan Liverpool selepas bintang muda, Rio Ngumoha mencipta sensasi meledak gol kemenangan pada penampilan sulungnya bersama The Reds di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Blues masih mengharapkan pampasan mampu dibayar oleh Liverpool memandangkan bakat Ngumoha mula diasuh daripada akademi pasukan itu sebelum pemain berusia 16 tahun tersebut berhijrah dengan cara penuh kontroversi ke Anfield tahun lalu.
Berdasarkan satu laporan pada November lalu, salah seorang pegawai Chelsea dikatakan agak berang kerana menganggap perpindahan Ngumoha mengakibatkan kelab itu hilang seorang pemain berbakat.
Ia sekali gus mencetuskan perseteruan antara kedua-dua kelab hingga dibawa ke tribunal bagi menentukan jumlah pampasan perlu dibayar oleh Liverpool.
Penganjur EPL juga masih lagi memutuskan sebarang keputusan dan Chelsea percaya aksi cemerlang Ngumoha menguatkan lagi kes tuntutan mereka terhadap Liverpool.
Untuk rekod, jaringan ketiga Liverpool di St. James Park kelmarin meletakkan nama Ngumoha yang bakal genap usia 17 tahun esok muncul sebagai pemain keempat termuda menjaringkan gol di pentas EPL.
Dalam laporan berasingan sebelum ini, Chelsea dikatakan melarang pencari bakat Liverpool daripada menghadiri perlawanan membabitkan kelab itu di pertandingan peringkat bawah umur yang menyaksikan skuad bawah 16 tahun mereka muncul juara pada 2023.
Sebelum ini, Liverpool pernah membuat bayaran £4.3 juta (RM24.38 juta) kepada Fulham selepas turut diheret ke tribunal kerana mendapatkan khidmat Harvey Elliot daripada akademi The Cottagers. – AGENSI