KLANG – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 19 migran warga Myanmar tiga minggu lalu.
Mereka ialah Muhammad Azalmie Ahmad Razali, 25, Muhammad Irwan Syapawi Che Hamid, 34, Mazlan Derahman, 39, Hazif Yusof, 46, dan Mohamad Yusof Zulkipli, 29.
Kesemua tertuduh mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mereka berlima bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menyeludup 19 migran warga Myanmar di Blok S, Apartment Taman Megah Cheras, Hulu Langat, di sini pada pukul 8 pagi, 5 Ogos lalu.
Justeru, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkaitan keselamatan dan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Peguam Adam Haikal yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan berikutan tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri, namun ditolak. Mahkamah menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE