IPOH – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berperwatakan wanita di Jalan Horley, Kampung Jawa, di sini, semalam.
Tangkapan ke atas lelaki berusia 32 tahun itu dijalankan sepasukan anggota Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 10 malam di Terminal Bas Bersepadu (TBS), Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dengan dipandu arah suspek, pasukan polis dibawa ke pos pengawal keselamatan di Taman Tawas Idaman pada pukul 2.30 pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan di lokasi tersebut membawa kepada rampasan dua batang anak kunci dan sebuah lori berwarna putih selain dua unit telefon bimbit.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Dia disyaki melanggar mangsa menggunakan lori sehingga menyebabkan kematian.
“Bagaimanapun, motif tindakan suspek masih dalam siasatan. Reman ke atas lelaki itu dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Media semalam melaporkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang pekerja hotel kira-kira pukul 6 pagi.
Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kecederaan serius di bahagian kepala dan belakang badan.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), mangsa telah dikejar sebuah lori bonded berwarna putih sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.
Mangsa yang jatuh di hadapan kenderaan itu kemudiannya digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE