IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diharap mempertimbangkan tambahan kuota untuk sekurang-kurangnya 250 orang pelajar bagi pengambilan kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi menyokong hasrat kerajaan meningkatkan bilangan doktor serta memperkukuh barisan hadapan sektor kesihatan.
Justeru, bagi mencapai hasrat berkenaan, beliau berharap agar penambahan kuota itu dapat dipertimbangkan oleh KPT.
“Patik menaruh harapan agar pihak KPT dapat mempertimbangkan tambahan kuota sekurang-kurangnya 250 orang pelajar lagi bagi pengambilan kursus Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak UniKL RCMP di sini hari ini. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan hadir ke majlis tersebut yang mana baginda menyempurnakan gimik perasmian sambutan Jubli Perak berkenaan.
Dua buah buku turut dilancarkan pada majlis itu iaitu Handbook of Rheumatoid Arthritis and Images in Rheumatology dan Modul Usrah Kontemporari dan Smart Circle Module.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap sebuah Hospital Pengajar (Teaching Hospital) dapat didirikan selari dengan perkembangan pesat UniKL RCMP.
“Melihat kepada perkembangan pesat UniKL RCMP ini, patik penuh yakin bahawa pada suatu hari nanti, akan berdirilah sebuah Teaching Hospital yang menjadi mercu tanda baharu ilmu dan bakti.
“Bukan sahaja untuk memperkukuh pengajaran dan pembelajaran, malah juga sebagai limpahan rahmat kepada masyarakat, mengurangkan kesesakan hospital, serta memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UniKL RCMP terus mengekalkan mutu pengajaran, kurikulum bertaraf antarabangsa serta kekuatan tenaga akademiknya.
“Hasilnya, seramai 10,950 graduan telah berjaya dilahirkan yang berbakti kepada tanah air dan dalam masa yang sama turut mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE