WASHINGTON – Ketua agensi kesihatan awam Amerika Syarikat (AS), Susan Monarez enggan meletak jawatan semalam dan menuduh Setiausaha Kesihatan Robert F. Kennedy Jr. yang anti vaksin, cuba ‘menjadikan kesihatan awam sebagai senjata politik’ selepas jabatannya mengumumkan pemecatan Monarez.
“Monarez yang dilantik sebagai pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kurang sebulan, tidak akan meletak jawatan walaupun menerima pemberitahuan daripada White House bahawa beliau dipecat,” kata peguamnya dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Sebagai seorang berintegriti dan berdedikasi kepada sains, beliau tidak akan meletak jawatan,” tambah peguamnya, Mark Zaid dan Abbe Lowell.
Kenyataan itu menuduh Kennedy Jr. yang terkenal dengan sikap skeptik terhadap vaksin, ‘mempersenjatai kesihatan awam untuk kepentingan politik dan membahayakan jutaan nyawa rakyat Amerika.’
“Ketua CDC itu menjadi sasaran selepas beliau enggan meluluskan arahan tidak saintifik, melulu dan memecat pakar-pakar kesihatan berdedikasi,” tambah mereka.
Monarez yang merupakan saintis bidang kesihatan dan penjawat awam yang sudah lama berkhidmat, mendapat pengesahan Senat AS untuk jawatan itu dan mengangkat sumpah di hadapan Kennedy Jr. pada 31 Julai lalu.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) di bawah pentadbiran Kennedy mengumumkan pemecatannya awal semalam dalam satu kenyataan ringkas di platform X.
“Susan Monarez bukan lagi pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. Kami berterima kasih atas khidmat dedikasinya kepada rakyat Amerika,” kata jabatan itu. – AFP