BALIK PULAU – Polis mengesahkan guru lelaki yang bertindak mengelar leher isterinya dengan sebilah pisau semalam, telah dirujuk ke Wad Psikiatri di Jalan Perak di sini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata, suspek berusia 30 tahun itu kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pada bahagian lehernya yang cedera.
“Suspek kelar dihantar ke Jalan Perak untuk pemeriksaan psikiatri,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, beliau memberitahu, suspek sudah boleh bangun dan berjalan sendiri selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Semalam, lelaki terbabit terpaksa ditidurkan bagi menjalani pembedahan akibat kecederaan serius yang dialaminya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang guru lelaki bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di bilik tidur pasangan tersebut di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, semalam.
Kejadian berlaku sebelum Subuh itu disedari oleh ibu mangsa yang terdengar jeritan anak perempuannya dari tingkat atas rumah dua tingkat tersebut
Ibu mangsa melihat anaknya ditindih sebelum menarik wanita itu turun dari jatil bagi menyelamatkan mangsa. – KOSMO! ONLINE