KUALA LUMPUR – Aksi sukar dihadapi beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sebelum memastikan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Pada pusingan ketiga yang berlangsung di Adidas Arena sebentar tadi, pasangan No.4 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 14-21, 21-19, 21-17 ke atas Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun tersentak di awal saingan apabila tewas 14-21 di set pertama sebelum bangkit pada set berikutnya.
Memasuki set penentuan, mereka masih berdepan aksi sukar memandangkan pemain lawan tidak berputus asa melakukan asakan demi asakan selain mengekori rapat kedudukan.
Bagaimanapun, aksi tenang membantu Tang Jie-Ee Wei mencatat kemenangan 21-17 di set ketiga bagi menempah pertemuan dengan beregu India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto di suku akhir esok.
“Memang kami gembira kerana perlawanan ini sangat sukar. Pemain lawan memberikan tekanan demi tekanan kepada kami, sebab itulah kami agak emosi tadi.
“Bagaimanapun, selepas ini kami akan mengharungi aksi suku akhir, jadi perlu kekal fokus dan mempersiapkan diri untuk perlawanan esok,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). – KOSMO! ONLINE