fbpx
AZNIL mencipta sensasi apabila meraih pingat emas Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad kelmarin. - AFP

Kejohanan Dunia sasaran seterusnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGUH angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin berada dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas memenangi pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025.

Pada aksi di Ahmedabad, India malam kelmarin, atlet berusia 31 tahun itu melakukan angkatan keseluruhan 297 kilogram, meliputi 172kg clean & jerk dan 125kg snatch bagi memenangi kategori 65kg.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengakui Aznil memiliki peluang cerah untuk layak ke Komanwel 2026, namun perlu menepati syarat menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan.

Justeru, Kejohanan Angkat Berat Dunia 2025 di Forde, Norway Oktober depan bakal menjadi pelengkap dua kejohanan buat atlet kelahiran Kedah itu dan seterusnya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.

“Memang harap begitu untuk Aznil dapat slot ke Sukan Komanwel tetapi berdasarkan syarat, perlu menyertai sekurang-kurangnya dua kejohanan. Walaupun yakin sudah berada dalam radar itu, namun kita perlu tepati syarat tersebut.

“Sekarang dia perlu menyertai salah satu kejohanan, sama ada di Norway nanti ataupun di Samoa tahun depan. Sekiranya menyertai kejohanan di Norway, saya rasa itu sudah okey,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, pingat perak dimenangi wakil tuan rumah, Raja Muthupandi yang melakukan angkatan keseluruhan 296kg, manakala gangsa menjadi milik atlet Papua New Guinea, Morea Baru dengan angkatan 292kg.

Sementara itu, Ayub menyifatkan Kejohanan Dunia di Norway nanti boleh menjadi pentas untuk atlet-atlet negara membuat penilaian terhadap prestasi peserta lain yang berpotensi menjadi pesaing pada Komanwel tahun depan.

“Kita memang sentiasa positif dengan peluang atlet tetapi tumpuan utama adalah Komanwel. Saingan di Norway adalah pentas untuk melihat pesaing-pesaing di Komanwel nanti kerana sekarang ada banyak kategori baharu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI