JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan detik seekor ular sawa muncul dari celahan tayar sebuah bas Transjakarta ketika ia bergerak laju, lapor laman berita Detik semalam.
Seorang pengguna jalan raya yang merakam video itu, Muchammad Rizky berkata, dia sedang memandu apabila melihat ular sawa keluar dari tayar bas henti-henti tersebut.
Dia pada mulanya menyangka objek yang menjulur keluar itu adalah sampah yang tersangkut, namun selepas melihat dengan betul, ia ternyata ular sawa.
“Saya cuba mendekati bas dan membuka tingkap kereta. Saya melihat ular itu keluar semakin panjang dan saya terus menutup tingkap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Awam dan Tanggungjawab Sosial Korporat Transjakarta, Ayu Wardhani berkata, kejadian berlaku pada malam Ahad lalu ketika bas itu sedang dipandu ke depoh selepas tamat perkhidmatan.
Katanya, pemandu bas terdengar bunyi hon dibunyikan oleh kenderaan di sebelahnya sebelum dia melihat melalui cermin sisi.
Pemandu tersebut ternampak objek seperti kabel berjuntai pada tayar sebelum dia memberhentikan bas untuk memeriksanya.
“Selepas diperiksa, pemandu menyedari bahawa objek itu adalah ular. Dia kembali ke tempat duduk pemandu untuk mengambil telefon bimbit sebelum turun semula dan mendapati ular telah hilang,” kata Ayu. – AGENSI