KAJANG – “Tujuh, lapan tahun saya kerja bidang korporat, prestasi cemerlang. Harap ada majikan beri peluang,” kata Mickel, 36, seorang daripada 77 prospek Penjara Kajang yang dibebaskan hari ini.
Pemuda dari Petaling Jaya, Selangor itu diberi pelepasan menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) selepas menjalani hukuman penjara 11 setengah bulan di Penjara Sungai Buloh sebelum ke Penjara Kajang.
Katanya, dia mempunyai baki lapan bulan setengah hukuman yang perlu dijalani selepas keluar daripada penjara.
“Saya dihukum penjara atas kesalahan komersial iaitu pelaburan tanpa lesen. Selepas keluar, saya nak balik rumah rehat dahulu beberapa hari dan selepas itu cari pekerjaan.
“Dalam resume, saya akan terus terang apa yang terjadi. Saya harap majikan dan syarikat dapat beri peluang kepada saya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen Ihsan Madani Tahun 2025 di Penjara Kajang di sini hari ini.
Seramai 77 prospek terdiri daripada 72 lelaki dan lima wanita dibebaskan menerusi PBSL dengan majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Pemasyarakatan, Ahmad Fauzi Awang.
Seorang lagi prospek hanya dikenali sebagai Mad, 30, berkata, dia menjalani hukuman penjara empat bulan atas kesalahan memiliki barangan curi iaitu telefon bimbit dan dia berasa insaf sekali gus tidak mahu kembali ke penjara.
“Saya gembira dapat keluar hari ini dan berazam tak nak ulang benda macam ni. Ini pertama kali masuk penjara dan banyak perkara saya belajar seperti agama dan disiplin diri.
“Keluarga di Sungai Buloh tahu saya telah bebas, tetapi saya akan ditempatkan di rumah perantara bagi mendapatkan pekerjaan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai penghantar barang dan berharap ada rezeki baik dalam pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE