ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan memberikan jawapan sama ada akan bertanding atau tidak bagi jawatan Naib Presiden Pas dalam pemilihan parti itu, esok.
Muhammad Sanusi yang masih berteka-teki tentang pendiriannya sehingga hari ini memberitahu, kenyataan itu akan dikeluarkan secara rasmi kepada media pada hari terakhir pemakluman calon untuk kekal bertanding atau tarik diri dalam pemilihan tersebut kelak.
“Esok lah saya jawab. Hari ini tak perlu jawab lagi. Hari ini tak ada, tak ada, tak ada (jawapan). Saya jawab esok, saya akan maklumkan sebelum 29 Ogos itu habis, hari terakhir (pemakluman setuju atau tarik diri) baru saya jawab,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah di Taman Jubli di sini hari ini.
Mengulas tentang kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang akan mempertahankan jawatan itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan keputusan Menteri Besar Terengganu tersebut.
“Beliau menyatakan hasrat (bertanding). Tahniah, saya esok. Saya tak akan bersaing dalam jawatan dalam Pas ini. Tak perlu bersaing, siapa yang sudah ada kebiasaan, dia biasa duduk situ. Dia buat kerja dengan baik, teruskanlah.
“Tak ada persaingan atau perebutan apa. Sikap saya pun sama, tak akan bersaing dengan sesiapa. Terus terang, tak ada, tak ada yang tersembunyi. Tak ada yang tersirat,” jelas beliau.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-71 akan diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini dari 11 hingga 16 September ini.
Muhammad Sanusib yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas pernah dicalonkan bagi jawatan sama pada 2023 namun menolak pencalonan tersebut. – KOSMO! ONLINE