KUALA TERENGGANU – Padah mengedar 118.41 gram (g) pil kuda tiga tahun lalu, dua bekas anggota bomba dihukum penjara selama 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Hafiq Haikal Che Kamarudin, 27, dan Muhammad Amillah Mat Ripin, 30, dikenakan 12 sebatan.
Beliau memutuskan demikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikah kedua-dua tertuduh ditangkap pada 13 Julai 2021.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa mengedar pil kuda seberat 118.41g di dalam sebuah kereta jenis Mercedes-Benz pada pukul 9 pagi, 13 Julai 2021.
Muhammad Hafiq Haikal dan Muhammad Amillah didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE