fbpx
Anthony loke ketika di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN

Dewan Rakyat: Kenderaan perdagangan, kargo beri manfaat negeri sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pergerakan harian kenderaan perdagangan dan kargo di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand seperti Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Rantau Panjang memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri sempadan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, aktiviti logistik rentas sempadan bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan langsung bagi rakyat tempatan malah mencetuskan kesan berganda kepada pelbagai sektor ekonomi.

“Syarikat pengangkutan, gudang, ejen penghantaran, stesen minyak, bengkel lori dan syarikat insurans adalah antara yang menerima manfaat langsung daripada aktiviti harian ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai bentuk hasil atau pulangan ekonomi yang diperoleh negeri sempadan daripada pergerakan harian kenderaan perdagangan dan kargo rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Jelasnya, peningkatan aktiviti logistik telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baharu termasuk pemandu lori, pekerja gudang, operator pelabuhan darat dan kakitangan penguatkuasaan sempadan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah serta taraf hidup komuniti setempat.

Beliau turut menyatakan bahawa perkembangan sektor ini mendorong pembangunan infrastruktur sokongan seperti terminal kargo, dry port serta pusat pemeriksaan bersepadu yang penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Sebagai contoh, projek Police Inland Port dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI