fbpx
Anwar ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini. FOTO JABATAN PENERANGAN

Dewan Rakyat: 76.5 peratus isi rumah di Malaysia sudah miliki kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 76.5 peratus isi rumah di Malaysia memiliki rumah sendiri setakat Laporan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, baki 20.3 peratus pula mendiami rumah sewa, manakala 3.3 peratus tinggal di kuarters.

“Bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan perumahan, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif utama,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Antara inisiatif yang disebut Anwar ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) khusus untuk golongan B40 dan M40.

Melalui skim itu, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, sedia ada atau lelongan.

“Sejak pelaksanaan SJKP pada tahun 2008 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 88,507 permohonan telah diluluskan dengan nilai jaminan pinjaman RM20.9 bilion.

“Kerajaan juga menambah dana SJKP sebanyak RM10 bilion lagi pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM30 bilion,” katanya.

Selain itu, Anwar turut memaklumkan mengenai pelaksanaan Skim Sewa-Untuk-Beli (Rent-to-Own, RTO) yang ditumpukan kepada Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Skim tersebut kini dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI