PETALING JAYA – Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) komited dengan pelaksanaan Dana Supertelefilem Bintang Veteran (Star) yang dijangka memberi manfaat kepada 60 peratus tenaga kerja penerbitan khususnya artis atau pekerja veteran.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, projek pilot ini tertakluk di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan hasil perbincangan dengan Kementerian Komunikasi, sebanyak lima projek akan diberikan dana berkenaan.
“Bajet ini datang daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dibawa ke RM-13 tahun depan. Walaupun ini projek pilot, kami setuju untuk berikan dana untuk lima projek.
“Selalunya projek pilot satu (supertelefilem) sahaja tapi sebab kami rasa terlalu terhad, kami cuba buat lima. KSU dan YB Menteri pun setuju.
“Inisiatif ini sebenarnya datang selepas saya berjumpa dengan ahli-ahli veteran kita di satu majlis. Mereka mengadu kerja tiada, bayaran tak seberapa kerana mungkin bajet penerbitan digunakan (banyak) untuk bayar artis-artis popular,” kata Hans.
Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac, 54, berkata, dengan wujudnya Star, akan melebarkan potensi artis atau kebolehpasaran pekerja veteran untuk mendapat watak utama dalam sesuatu projek.
“Inisiatif ini akan memberi kelebihan kepada pekerja atau artis veteran. Contohnya, untuk inisiatif ini lead (pelakon utama) atau supporting (pelakon pembantu) boleh jadi mereka yang berusia 60 atau 70 tahun.
“Syarat untuk dapatkan dana ini syarikat yang mohon kerna memastikan 60 peratus pekerja adalah mereka yang berusia 55 tahun ke atas. 40 peratus (usia) bawah 55 tahun ke bawah.
“Benda ini sebenarnya adalah untuk memastikan para veteran agar terus bekerja. Keduanya, akan pergi ke polisi insuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Socso melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Sebelum ini, kalau tidak di bawah Finas atau kementerian, syarikat hanya bayar gaji one-off atau pekerja gig. Kami laksanakan walaupun pekerja gig, kena bayar KWSP dan Socso,” katanya.
Tambahnya lagi, peruntukan bajet untuk pelaksanaan dana Star adalah sekitar RM1 juta yang boleh memanfaatkan 200 hingga 250 pekerja veteran untuk pusiangan pertama (first round).
“Peruntukan sekitar RM800,000 hingga lebih RM1 juta untuk projek Star—termasuk kru dan pelakon yang bekerja lama dalam industri layak untuk dimanfaatkan daripada inisiatif ini.
“Seseorang artis atau individu layak untuk skim ini hanya boleh terlibat untuk dua projek (maksimum). Tak boleh satu artis veteren berlakon lima projek.
“Kita nak pastikan semua orang (terutama veteran) merasa dana ini. Untuk pusingan pertama ini hanya lima projek, tahun depan siapa tahu mungkin akan dinaikan 10 projek supertelefilem pula.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi bersama Finas mempelawa syarikat penerbitan tempatan yang berminat dan memenuhi syarat kelayakan untuk memoho dana Star dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen penyiar swasta.
Dana ini merupakan salah satu inisiatif strategik bagi merancakkan penerbitan kandungan kreatif tempatan, meningkatkan kadar penontonan di stesen penyiar serta merangsang pertumbuhan ekonomi industri kandungan kreatif melalui kerjasama bersama penyiar tempatan.
Kategori ini dibuka khusus bagi penerbitan supertelefilem berkualiti tinggi, dengan syarat wajib sekurang-kurangnya 60% tenaga kerja penerbitan terdiri daripada artis veteran.
Inisiatif ini juga bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan artis veteran, seterusnya memastikan kelangsungan kerjaya mereka dalam industri.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman sesawang www.finas.gov.my atau menerusi portal SPPIK di http://sppik.finas.my.
Semua permohonan adalah tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang sedang berkuat kuasa.
Tempoh permohonan bermula esok 29 Ogos 2025 hingga 7 September 2025
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Produksi Finas melalui e-mel [email protected].