IPOH – Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol remaja perempuan empat tahun lalu.
Hakim Jean Sharmila Jesudason membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Muhazzam Shah Salem, 40, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Jean Sharmila berkata, selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi, fakta kes serta pembuktian dan pertuduhan, mahkamah mendapati terdapat elemen tidak konsisten selain kelompongan dalam kes pendakwaan.
Menurut beliau, dua perkara itu tidak dijelaskan sama ada melalui siasatan pihak polis dan keterangan saksi-saksi pendakwaan terutama saksi pendakwaan (SP1) iaitu mangsa.
“Perkara ini menimbulkan keraguan munasabah kepada mahkamah. Maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan tersebut,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dikembalikan kepada tertuduh.
Pada 31 Disember 2021, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol remaja perempuan berusia 17 tahun. – KOSMO! ONLINE