fbpx
YUSOFF (kiri) dilantik menggantikan Joehari (tengah) yang membuat keputusan mengejut melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM.

Apa punca Joehari lepaskan jawatan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAB sebenar peletakan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub kekal menjadi misteri apabila badan induk itu mengambil pendekatan ‘kunci mulut’.

Tindakan badan induk itu untuk tidak memberikan penjelasan sebenar mengenai peletakkan jawatan Joehari menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi dalam kalangan peminat.

Menerusi kenyataan akhbar, FAM yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif di Wisma FAM semalam hanya membincangkan hasrat Joehari tanpa mendedahkan alasan sebenar.

“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

“Kongres tersebut hendaklah memilih presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan,” katanya.

Bagaimanapun, selepas ‘berkampung’ di Wisma FAM kira-kira empat jam, usaha petugas-petugas media untuk mendapat komen lanjut daripada beberapa ahli jawatankuasa eksekutif badan induk itu tidak membuahkan hasil.

Peletakan jawatan Joehari menyaksikan beliau menjadi individu paling singkat berada di ‘kerusi panas’ tersebut selepas menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin pada Februari lalu.

Sebagai rekod, Hamidin memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2025, Tunku Mahkota Ismail (2017-2018), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (2014-2017), Sultan Ahmad Shah (1984-2014), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976-1984), Tun Abdul Razak (1975-1976) dan Tunku Abdul Rahman (1951-1975).

Berdasarkan laporan sebelum ini, beberapa nama dicanang untuk mengisi jawatan Presiden FAM antaranya mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang kini dilantik sebagai Pemangku Presiden FAM.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Datuk Mohd. Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta hari ini (semalam) berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu,” menurut kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI