fbpx
AIMAN (kanan) bersama Ethan menunjukkan pingat emas dimenangi di Sunway Mega Lanes pada Sabtu lalu. - MTBC

Aiman mula serlah bakat besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA Mohd. Aiman Syahin semakin mencuri tumpuan selepas mempamerkan aksi konsisten di Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-22 sekali gus membuka lembaran baharu sebagai prospek masa depan di Malaysia.

Anak muda berusia 19 tahun itu mencipta sensasi apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara bersama gandingannya, Ethan Damien Goh dalam acara beregu lelaki di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid pada Sabtu lalu.

Mereka menewaskan pasangan pilihan dari Kuwait, Abdulrzzaq Mohamad-Hassan Qasem dengan catatan 2,696 jatuhan pin.

Rentak emas itu menjadi permulaan prestasi cemerlang Aiman apabila dia mengekalkan momentum dengan menyumbang dua gangsa untuk kem negara, sekali gus muncul pemain paling banyak meraih pingat pada kejohanan kali ini.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan. Sejujurnya saya tidak jangka keputusan itu kerana lawan kami juga kuat, tetapi kami cuba fokus satu demi satu frame dan akhirnya berjaya capai kemenangan,” kata Aiman.

Katanya, kejayaan bersama Ethan banyak dipengaruhi kerjasama mantap dan komunikasi sepanjang permainan.

“Kami saling beri semangat dan bila berdepan situasi sukar kami cuba kekal tenang serta percaya pada strategi yang dirancang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aiman turut mengakui pencapaian kali ini menjadi batu loncatan penting untuknya membina karier lebih matang, sekali gus mengasah keyakinan diri di pentas antarabangsa.

“Saya harap dapat terus konsisten dan bawa prestasi lebih baik di kejohanan seterusnya. Sasaran saya bukan saja podium, tetapi belajar daripada setiap perlawanan supaya jadi atlet yang lebih berpengalaman,” jelasnya.

Selepas kejohanan itu, Aiman akan kembali beraksi pada Kejohanan Antarabangsa Terbuka Sarawak dan Kejohanan Terbuka Junior All-Stars bulan depan iaitu dua medan penting untuk menguji konsistensinya selepas kejayaan di peringkat Asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI