SEGAMAT – “Abah…tolong,” begitulah jeritan anak kecil kepada salah seorang penduduk yang terkejut selepas mengalami gegaran gempa bumi lemah kali keempat di sini, sekitar pukul 7.56 malam tadi.
Menurut Mohd Redzhuan Mohd Yusof, 51, ketika kejadian dia bersama isteri baru selesai menunaikan solat berjemaah di rumah dan sedang berwirid.
“Kami tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat seperti bom dan selepas itu merasa gegaran sehingga zink rumah berbunyi kerana berlaga dengan satu sama lain.
“Anak saya yang berusia tiga tahun juga menjerit meminta tolong kerana amat terkejut dengan gegaran itu dan terus meluru ke arah kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Bumbun malam ini.
Tambah bapa kepada lapan cahaya mata itu, dia merasa amat bimbang akan keselamatan ahli keluarganya setelah empat kali gegaran gempa bumi lemah berlaku dalam tempoh kurang satu minggu di daerah ini.
“Kami harap pihak berkaitan dapat mencari solusi yang terbaik dan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh orang ramai jika berlaku gegaran yang lebih kuat selepas ini.
“Tindakan yang cepat dan tepat adalah penting pada saat-saat genting seperti ini bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih dasyat,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE