SHAH ALAM – Sebanyak 60 buah syarikat penjagaan kanak-kanak dan warga emas bakal menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang berlangsung 8 hingga 11 Oktober ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, ini kali pertama kesemua syarikat berkenaan, yang beroperasi di dalam dan luar negara menyertai persidangan tersebut.
“Penyertaan mereka adalah bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak Penjagaan Selangor (SICS) 2025 yang menjadi sebahagian daripada SIBS kali ini.
“Kami mengharapkan banyak perjanjian persefahaman (MoU) dapat dibentuk menerusi SICS kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SIBS 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sze Han menjelaskan penguatkuasaan tarif produk Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak 19 peratus tidak akan menjejaskan kemeriahan SIBS 2025.
Ini kerana menurutnya, kebanyakan negara dalam rantau Asia Tenggara turut dikenakan kadar tarif yang sama, justeru pihaknya tidak bimbang dengan perkara itu.
“Apa yang lebih penting adalah kita mempromosikan kelebihan serta manfaat yang akan diperoleh oleh syarikat-syarikat ini sekiranya mereka melabur dalam Selangor.
“Kami tidak meletakkan sasaran nilai potensi transaksi yang akan diperoleh pada persidangan kali ini, cuma kami harap ia lebih tinggi daripada potensi lebih RM14 bilion yang dicapai tahun lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE