SEPANG – Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini hari ini dilaporkan berpunca susulan insiden pelepasan arus (flashover) melibatkan penyambungan kabel.
Susulan itu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, pihaknya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas sepanjang tempoh tersebut.
“Sistem kuasa penting termasuk penjana sokongan diaktifkan serta-merta, sekali gus memastikan semua sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan berfungsi tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut MAHB, pasukan teknikal bertindak pantas dan profesional dengan mengalihkan bekalan kuasa daripada pencawang alternatif sebelum berjaya memulihkan sepenuhnya keadaan dalam masa 28 minit.
“Sepanjang tempoh itu, semua perkhidmatan penting kekal beroperasi. Laporan penuh mengenai insiden ini sedang disediakan untuk diserahkan kepada Menteri Pengangkutan,” katanya.
Tambah MAHB, pihaknya kekal komited untuk mengekalkan standard tertinggi dari segi keselamatan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan.
“Kami sedang melakukan penilaian menyeluruh berhubung kejadian ini bagi mengelak daripada berulang selain memastikan keutuhan infrastruktur,” katanya.
Terdahulu, Terminal KLIA2 dilaporkan berdepan masalah ketiadaan bekalan elektrik selama hampir 30 minit hingga menyebabkan pengguna terjejas selepas beberapa infrastruktur termasuk tangga eskalator tidak berfungsi. – KOSMO! ONLINE