PENAMPILAN sulung dalam tempoh lima bulan menyaksikan perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terpaksa akur apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Pada perlawanan di Adidas Arena, Paris, Perancis kelmarin, bekas juara All England itu tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin menerusi keputusan straight set 17-21, 11-21.
Prestasi hambar itu sememangnya sudah dijangka selepas dia terpaksa berehat panjang sebelum ini bagi memberikan sepenuh perhatian terhadap pemulihan kecederaan selepas beraksi di All England pada Mac lalu.
Zii Jia, 27, mengakui aksi ditampilkan bukanlah yang terbaik, namun tetap gembira kerana dapat kembali ke gelanggang kompetitif selain menamatkan kempen tanpa kecederaan.
“Saya gembira dapat menamatkan perlawanan tanpa sebarang kesakitan dan kecederaan, itu perkara paling penting. Selepas ini, saya akan cuba untuk mendapatkan semula ‘perasaan’ itu.
“Saya boleh berikan lima per 10 untuk aksi hari ini (kelmarin), terutamanya dari segi fizikal serta ketahanan. Ini salah satu aspek yang diberikan fokus bersama pasukan saya nanti,” katanya.
Zii Jia juga menjelaskan, dia tidak mengambil peduli dengan perhatian serta tekanan yang diberikan kepadanya selain menganggap ia adalah perkara biasa selagi bergelar sebagai atlet.
“Saya tidak peduli mengenainya (tekanan). Apa yang boleh saya katakan adalah saya perlu berdepan dengan perkara tersebut selagi berada dalam industri ini,” ujar pemain dari Alor Setar, Kedah itu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut mengakui berdepan tempoh sukar sepanjang menjalani proses pemulihan bagi merawat kecederaan buku lali kanan yang dialami sebelum ini.
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sehingga terlepas beberapa kejohanan sepanjang kempen 2025. – KOSMO! ONLINE