fbpx
Gambar hiasan

Wujudkan talian aduan buli khas mesra kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mewujudkan talian aduan buli khas dengan ciri-ciri mesra kanak-kanak seperti fungsi chat dengan bahasa yang mudah serta disuai padan dengan usia kanak-kanak.

Itu antara 17 syor yang dikemukakan menerusi Penyata Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat – Buli Dalam kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia.

“Bagi sekolah berasrama, kotak aduan buli wajib diwujudkan. Mewajibkan sekolah menyediakan pilihan untuk kanak-kanak membuat aduan secara anonim. Mewujudkan semula talian khas untuk kanak-kanak seperti Child Helpline yang sebelum ini berjaya.

“Memastikan maklumat peribadi setiap kanak-kanak terlibat kes buli dijaga kerahsiaan. Memastikan pengadu kes buli dilindungi daripada tindak balas negatif daripada pelbagai pihak,” kata penyata tersebut seperti disiarkan di laman web Parlimen semalam.

Syor lain adalah membuat hebahan segera secara meluas berkenaan salah laku buli dan tindakan yang perlu diambil dalam tempoh masa tiga bulan terdekat.

Mewujudkan Jawatankuasa Khas Anti Buli terdiri daripada individu mempunyai kelayakan dan berpengalaman serta mengambil kira suara perwakilan pelajar dan menambah baik dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli.

Mewajibkan setiap sekolah dan asrama melaksanakan Polisi Perlindungan Kanak-kanak untuk ditandatangani semua pihak termasuk guru, warden, dan ibu bapa serta menjadikan PIBG pemantau pelaksanaan polisi perlindungan kanak-kanak.

Syor seterusnya mewajibkan dasar perlindungan kanak-kanak dan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di institusi pendidikan KPM dijadikan sebagai modul wajib dalam latihan guru di Institusi Pendidikan Guru (IPG)

Memastikan penglibatan kanak-kanak secara langsung dalam perangkaan polisi anti-buli, memperkenalkam modul Bengkel Empati dalam kalangan pelajar dan memperkasa sistem sokongan rakan sebaya.

Menambah bilangan guru kaunseling terlatih di sekolah, membuat pelantikan warden dalam kalangan bekas anggota tentera dan polis di sekolah berasrama tertakluk kepada saringan ketat dan menjalani kursus serta latihan perlindungan kanak-kanak.

“Calon perlu menjalani ujian Penaksiran Psikologi Personaliti (TAJMA) bagi memastikan kesesuaian bekerja dengan kanak-kanak,” kata penyata tersebut.

Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat – Buli Dalam kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia turut berpandangan pelan susun atur bangunan sekolah berpotensi mengundang buli.

Justeru, Jawatankuasa itu mengesyorkan kajian semula reka bentuk sekolah bagi memastikan persekitaran lebih selamat dengan pemantauan strategik dan pemasangan sistem. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI