PETALING JAYA – Penduduk di sekitar daerah Bagan Datuk, Perak digemparkan dengan dakwaan kemunculan lembaga menyerupai pocong di beberapa lokasi sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan perasaan takut dalam kalangan orang ramai.
Menurut perkongsian Facebook Bagan Datuk, beberapa lokasi dikaitkan dengan penampakan makhluk berbungkus kain kafan itu antaranya tapak pembuangan sampah Parit 26 Baroh, Geretak Lambong di Batu 26, jambatan utama Bagan Datuk, bekas jirat Cina di Teluk Penikam serta tapak pelupusan sampah di Kampung Pasang Api.
Ada individu mendakwa pernah terserempak dengan pocong hingga jatuh sakit. Malah, seorang pengguna media sosial turut berkongsi kisah peribadinya.
“Mak saya pernah nampak sendiri ketika singgah makan di Hutan Melintang kira-kira pukul 10 malam. Dia ternampak lembaga putih berhampiran padang permainan. Namun, hanya selepas berada dalam kereta, barulah dia memberitahu apa yang dilihat. Kejadian berlaku tahun lepas,” kongsi Nasir Azira.
“Apa ke teruk beno (betul) Parit 26 ada pocong. Malam ni saya akan lakukan siasatan sendiri,” kata Misran Misali.
“Masa bertugas, dia (suami) pernah menahan dua ‘pocong jadian’ yang rupa-rupanya hanyalah manusia menyamar. Suami saya siap ajar mereka hidup cara manusia sebenar,” kata Norlela Rosli.
Difahamkan, kejadian menyamar sebagai pocong pernah berlaku apabila sekumpulan remaja menakut-nakutkan penduduk di kawasan bekas tapak cadangan resort Teddo serta kunci air Kampung Pasang Api.
Mereka akhirnya ditahan pihak berkuasa sebelum dikenakan ‘terapi’ dengan dipaksa melompat seperti pocong mengelilingi balai polis.
Persoalannya kini, adakah gangguan pocong di Bagan Datuk benar-benar wujud atau sekadar mainan manusia untuk menakutkan orang ramai? – KOSMO! ONLINE