PETALING JAYA – Tular di media sosial rakaman video memaparkan sebuah lori treler nyaris terbabas selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara mengejut di laluan tepi jambatan di Butterworth Outer Ring Road (BORR), Jambatan Sungai Perai.
Menurut perkongsian di Facebook Penang Kini, kejadian itu bukan sahaja mengundang bahaya kepada pemandu treler terbabit malah turut mengancam nyawa penunggang motosikal berkenaan.
Dalam rakaman tersebut, lori treler berkenaan kelihatan bergoyang ketika pemandunya melakukan tindakan pantas bagi mengelak kemalangan lebih serius.
“Bergoyang treler.. tu kalau kena hempap, berapa ramai tak tahu la,” kata Udang Kara.
“Nasib baik skill (kemahiran) lori tinggi,” komen Bernard Lim.
“Tak habis-habis buat benda bodoh… pasal hampa (anda) nyaris-nyaris treler ni nak terbabas,” tulis Muhamad Hidayat.
Insiden berkenaan menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di kawasan tersebut serta mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – KOSMO! ONLINE