TERENGGANU FC (TFC) enggan terlalu selesa biarpun baru membelasah Brunei DPMM FC, sebaliknya memilih lebih berhati-hati menjelang aksi menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kemenangan itu menjadi tonik terbaik buat Sang Penyu untuk fokus sepenuhnya bagi membenam Selangor pula di gelanggang lawan.
“Tiga mata menewaskan Brunei menjadi motivasi tambahan buat pemain tetapi perlawanan dengan Selangor ini lain cabarannya.
“Kita tahu Selangor pasukan kuat dan mereka bagaikan harimau terluka selepas tewas mengejut kepada Negeri Sembilan kelmarin (Ahad lalu),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Badrul Afzan berkata, pasukannya sedikit berkelebihan kerana memiliki rehat lebih panjang berbanding Gergasi Merah yang mana ia sedikit sebanyak membantu persiapan mereka.
“Kita ada empat hari untuk ‘recovery’ (pemulihan) berbanding Selangor yang baru beraksi kelmarin (Ahad lalu). Itu memberi sedikit ruang untuk pemain-pemain TFC kembali segar.
“Ini juga perlawanan terakhir dalam bulan Ogos sebelum kita berehat untuk aksi antarabangsa, jadi penting untuk kutip seberapa banyak mata,” katanya.
Dalam pada itu, Badrul Afzan lega semua tonggak TFC cergas untuk diturunkan termasuk penyerang import, Gabriel Silva yang baru pulih daripada kecederaan.
“Sewaktu melawan Brunei tempoh hari, kita memiliki 12 percubaan tepat tetapi hanya lima disudahkan sebagai gol,” jelasnya.
“Benteng pertahanan juga perlu kekal disiplin agar tidak memberi ruang kepada jentera serangan Selangor yang cukup berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE