SEPANG – Ratu rock negara, Ella memilih untuk mengunci mulut mengenai rumah tangga anak saudaranya, penyanyi Kaka Azraff yang didakwa kembali bergolak.
Menurut Ella atau nama lengkapnya, Nor Zila Aminuddin, 59, sebagai ibu saudara, beliau tidak berhak untuk masuk campur kehidupan peribadi Kaka.
“Perkara sebegitu (perkahwinan Kaka) saya tidak boleh masuk campur. Saya sebagai ibu saudaranya memberi sokongan yang padu untuk Kaka, harap dia akan okey.
“Terpulang kepada dia (soal perkahwinan), dia pun sudah matang, kita doakan yang terbaik.
“Saya tidak boleh masuk campur kerana hal rumah tangga sangat privasi dan peribadi,” ujarnya.
Ella ditemui pada majlis sidang media AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink di AirAsia RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sebentar tadi.
Sementara itu, kakak Ella, Jojie yang menemaninya pada majlis sidang media itu turut mengelak apabila pihak media mengajukan soalan mengenai Kaka.
Kaka atau nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 36, mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 14 Disember 2018.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6; Aryan, 4; dan Atta Adam yang berusia setahun.
Adam dan Kaka sebelum ini dilapor sah bercerai talak satu pada 28 Oktober tahun lalu, dalam prosiding yang berlangsung secara ekspres di Mahkamah Syariah Shah Alam.
Namun, pada Januari lalu, pasangan ini dilaporkan sudah kembali rujuk sebelum timbul desas-desus perkahwinan mereka kembali bergolak sekitar Julai lalu. – KOSMO! ONLINE