BALIK PULAU – Polis mengesahkan suspek lelaki dikatakan bertindak menindih isterinya di atas katil sebelum cuba mengelar leher mangsa dengan sebilah pisau dalam kejadian pergaduhan di kediaman keluarga di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, pagi tadi.
Pasangan terbabit merupakan guru di sebuah sekolah di negeri ini dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan berusia tiga tahun. Pasangan itu merupakan bekas penuntut di sebuah institusi di Beijing, China dalam pengajian Bahasa Mandarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas terdengar pertengkaran berlaku dari bilik tidur di tingkat atas kediaman dua tingkat itu.
Menurutnya, pasangan tersebut tinggal bersama keluarga wanita terbabit dan semasa kejadian berlaku mereka dikatakan baru terjaga dari tidur.
“Kejadian berlaku sebelum masuk waktu subuh pagi tadi. Ibu mangsa terdengar jeritan daripada anaknya daripada tingkat atas dan apabila dia naik ke atas mendapati suami kepada mangsa ataupun suspek sedang menindih mangsa dalam keadaan cuba mengelar isterinya.
“Ibu mangsa sempat menarik mangsa turun daripada katil dan bawa keluar.Dalam masa yang sama juga, ibu mangsa nampak suspek mengelar tangan dan lehernya sendiri di atas katil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, tadi.
Beliau memberitahu, punca sebenar kejadian berlaku masih dalam siasatan polis dan kedua-dua mangsa kini berada di Hospital Pulau Pinang.
“Mangsa berusia 28 tahun mengalami kecederaan pada leher, namun stabil manakala suaminya berusia 30 tahun cedera pada pergelangan tangan kiri dan leher. Cuma keadaannya agak serius dan masih berada di Zon Merah.
“Menurut saksi, pasangan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah rumah tangga termasuk masalah kewangan dan kesihatan Mereka hidup dalam suasana harmoni,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh. -KOSMO! ONLINE