BERN – Switzerland yang dianggap sebagai salah satu negara paling aman di Eropah, dilanda rusuhan selama 48 jam susulan kes seorang remaja terbunuh ketika dikejar polis, lapor laman berita Metro.co.uk semalam.
Remaja berusia 17 tahun itu meninggal dunia ketika cuba melarikan diri daripada polis yang mendakwa dia menunggang skuter curi di Lausanne, Ahad lalu.
Polis mengejarnya menggunakan kereta peronda dengan lampu siren terpasang, pada jarak lebih 100 meter.
Dia kemudian melanggar dinding dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian walaupun usaha menyelamatkan nyawa dilakukan.
Media Switzerland melaporkan bahawa remaja itu yang identitinya masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa, berasal daripada latar belakang imigran.
Menjelang petang, lebih 100 remaja bertopeng berkumpul di daerah Préeaz, melontar mercun ke arah polis, menterbalikkan serta membakar tong sampah, malah merosakkan sebuah bas milik syarikat pengangkutan Lausanne.
Rakaman video menunjukkan kontena terbakar dan tembakan mercun dilepaskan ketika polis lengkap bersenjata bertempur dengan orang ramai.
Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan kumpulan itu, manakala pasukan bomba memadamkan kebakaran.
Seorang ahli majlis tempatan daripada parti berhaluan kanan yang anti-imigrasi, Parti Rakyat Switzerland (SVP), Thibault Schaller berada di lokasi dan mendakwa bahawa dia telah diserang.
Dalam catatan di akaun X miliknya, Schaller berkata, dia dikepung oleh 10 hingga 15 orang yang memukulnya dari semua arah. – AGENSI