PETALING JAYA – Penguatkuasaan kaedah pengiraan baharu bagi nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang dijadualkan bermula tahun depan dijangka akan lebih menjejaskan pasaran massa berbanding segmen kenderaan mewah.
Pengarah Urusan Bahagian Permotoran, Sime Darby Berhad (Sime), Andrew Basham berkata, sekiranya ia dilaksanakan bermula 1 Januari, pasaran mungkin bakal menyaksikan peningkatan jualan luar biasa pada bulan Oktober, November dan Disember.
“Kemudian akan ada penurunan pada Januari sebelum keadaan menjadi normal, dan perniagaan kembali seperti biasa.
“Perkara ini cenderung memberi kesan yang lebih rendah pada segmen premium dan reaksi yang lebih mendadak biasanya disaksikan pada pasaran massa,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman keputusan kewangan Sime di ibu pejabatnya di sini, hari ini.
Penguatkuasaan peraturan cukai eksais kenderaan baharu, P.U.(A) 402/2019 dijadualkan bermula pada 2026 selepas ditangguhkan beberapa kali.
Ia antara lain melibatkan semakan semula kaedah pengiraan OMV kenderaan, yang dikhuatiri bakal meningkatkan harga jualan.
Pengarah Urusan Bahagian UMW, Sime, Datuk Mustamir Mohamad berkata, butiran perkara tersebut masih di belakang tabir, namun kerajaan dijangka akan memastikan sekiranya terdapat pelarasan berhubung pengiraan OMV, harga jualan kenderaan CKD akan masih lebih rendah berbanding yang diimport sepenuhnya (CBU).
“Saya rasa kebimbangan pasaran adalah harga kereta CKD akan lebih hampir dengan CBU, sama ada ia akan memberi kesan kepada pemasangan tempatan.
“Kerajaan menyedari keadaan ini, jadi pengiraan sebenar akan mencerminkan beberapa pelarasan untuk memastikan bahawa terdapat beberapa pembezaan antara CKD dan CBU supaya ia tidak memberi kesan kepada pengeluar,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai impak tarif Amerika Syarikat (AS), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, bagi segmen perindustriannya, kebanyakan jengkaut dan mesin Caterpillar yang dijual di sini adalah dibuat di China.
“Jadi tiada kesan tarif. Selain itu, kebanyakan trak Ford kami dibuat di Thailand, amat sedikit alat ganti yang datang dari AS.
“Kesan langsung tarif ke atas perniagaan dan jenama AS kami agak terhad,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE