fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan mencuri kelapa sawit. - Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Pemandu lori kebas 540kg sawit didenda RM4,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah mencuri buah kelapa sawit seberat 540 kilogram (kg), dua minggu lalu.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, M. Vijaya Kumar, 36, yang dibuat sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri buah kelapa sawit seberat 540 kg yang diusahakan oleh syarikat Mengkuang Jaya Sdn. Bhd. (pemajak tanah).

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi hingga 4 petang antara 14 Ogos dan 17 Ogos 2025 di ladang kelapa sawit lot 47, mukim Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu agar denda rendah diberikan atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri kemudian memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh serta masyarakat.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI