SEBERANG PERAI – Seorang pekerja subkontraktor maut selepas terjatuh dari bumbung pada ketinggian lebih sembilan meter di sebuah kilang di Nibong Tebal di sini, semalam.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang berkata, dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, lelaki tempatan berusia 21 tahun tersebut sedang menjalankan kerja pembersihan panel solar di bahagian bumbung premis berkenaan.
Katanya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan dari Hospital Sungai Bakap.
“Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan dan Notis Larangan turut dikeluarkan kepada pihak terlibat bagi mengarahkan pemberhentian kerja sehingga tindakan pembetulan dibuat.
“Pasukan penyiasat juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak yang terlibat,” katanya hari ini. -KOSMO! ONLINE