KAJANG – Polis menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan, di sini pada 21 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM757,760.
“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah pukul 5 petang, polis menahan pasangan kekasih iaitu seorang wanita berusia 34 tahun yang tidak bekerja bersama seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sendiri.
“Pemeriksaan di rumah tersebut menemui empat bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 364 gram bernilai kira-kira RM700,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, hari ini.
Naazron berkata, seorang lagi lelaki berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi kira-kira pukul 9 malam hari yang sama.
Katanya, pemeriksan terhadap kenderaan itu menemui tiga bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 235 gram bernilai RM500.
“Hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan bekalan dadah,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan lanjut bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menemukan 22.2 kilogram ganja, 3.35 kilogram pil ekstasi, 267 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 34 gram ketamin.
“Siasatan awal mendapati pasangan kekasih berperanan sebagai tokan manakala seorang lagi suspek merupakan pengedar.
“Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif tetrahydrocannabinol (THC), semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Tambahnya, dua suspek lelaki telah dituduh di Mahkamah Kajang, di sini, semalam di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE