fbpx
Papagomo dan Razarudin

Papagomo dipenjara 30 hari hina mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penulis blog, Papagomo dihukum penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan permohonan komital yang difailkan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.

Mahkamah turut memerintahkan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris membayar kos RM30,000 kepada Razarudin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Dalam penghakimannya, Hakim Techiong menyatakan permohonan maaf yang dibuat Wan Muhammad Azri menerusi media sosial pada 1 Mei lalu tidak boleh diterima kerana gagal menzahirkan rasa kesal sebenar.

“Defendan (Wan Muhammad Azri) seorang yang mahir menggunakan media sosial, sudah tentu beliau tahu bagaimana cara menyampaikan permohonan maaf dengan betul di platform seperti YouTube, TikTok atau X.

“Permohonan maaf yang disertakan dengan muzik latar lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk ‘Maafkan Kami’ itu lebih menyerupai video hiburan berbanding permohonan maaf,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 hari kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk memohon maaf dengan sempurna kepada Razarudin.

Mahkamah kemudian menambah hukuman penjara 15 hari kerana memuat naik video baharu yang menunjukkan tiada penyesalan. Kedua-dua hukuman itu diarahkan berjalan secara berasingan.

Pada 27 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah terhadap Wan Mubammad Azri bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta.

Pada 10 Januari lalu, beliau berjaya memperoleh perintah injunksi menghalang Papagomo atau ejennya daripada menerbit atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya di mana-mana platform media sosial sehingga kes saman itu selesai.

Sebulan kemudian, Razarudin mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Papagomo kerana gagal mematuhi perintah injunksi tersebut.

Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur, banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan, video, status serta komen itu merujuk kedudukan Razarudin sebagai KPN dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara dalam talian di media sosial dan aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI