LONDON – Pengurus Newcastle, Eddie Howe membayangkan dirinya kini terpaksa berdepan deretan episod malang selepas tewas 2-3 kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park awal pagi semalam.
Tidak hanya kecewa dengan kekalahan saat-saat akhir, Howe juga hampir pasti terpaksa melupakan khidmat tiga pemain utamanya, Joelinton, Sandro Tonali dan Fabian Schar kerana masalah kecederaan.
Selain itu, Newcastle juga kehilangan satu-satunya pemain harapan di jentera serangan, Anthony Gordon selepas dilayangkan kad merah.
Joelinton, Tonali dan Schar tidak dapat menamatkan perlawanan malah Howe menjelaskan ia kelihatan sesuatu yang tidak bagus buat pasukannya.
“Untuk berdepan situasi seperti ini memberikan hari yang buruk buat saya. Sandro kelihatan tidak begitu bagus kerana dia merasai kesakitan dan saya tidak pasti lagi tentang kecederaan dan Joelinton.
“Mungkin kami tidak dapat gunakan mereka buat seketika. Adalah tidak bagus apabila ada pemain terpaksa dibawa keluar, manakala Fabian mengalami gegaran di kepala dan sudah pasti itu juga perkara yang tidak bagus.
“Penggantungan Anthony juga menjadi satu lagi tamparan buat kami walaupun ada orang mengatakan terjahan dilakukannya agak berbahaya,” katanya.
Selepas Liverpool medahului menerusi ledakan Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike, Newcastle kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Bruno Guimaraes serta William Osula.
Hasrat meraih sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri tidak kesampaian apabila pemain berusia 16 tahun, Rio Ngumoha muncul wira Liverpool dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-90+10. – AGENSI