PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berharap saman fitnah beliau terhadap Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris akan berpihak kepadanya.
Asyraf Wajdi berkata, beliau berazam setiap sen diterima daripada saman RM1 juta tersebut akan disumbangkan kepada pelajar miskin untuk melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan tinggi atau institusi pendidikan Mara.
“Mudah-mudahan saman fitnah RM1 juta saya ke atas beliau juga dapat disegerakan tarikh perbicaraannya daripada pihak mahkamah.
“Insya-Allah, saya bertekad dan berazam, jika menang saman fitnah kelak, setiap sen yang diterima tidak akan saya gunakan untuk peribadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap Papagomo selepas didapati melanggar perintah injunksi berhubung saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pesuruhjaya Kehakiman GanTechiong ketika membacakan keputusan itu mendapati Wan Muhammad Azri bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah berkenaan sebanyak dua kali
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin dalam tempoh tiga hingga empat hari
Asyraf Wajdi sebelum ini turut mengemukakan saman fitnah terhadap Papagomo berhubung dakwaan konon beliau menyalahgunakan dana Mara. – KOSMO! ONLINE