fbpx
Anwar (kiri) dan Sultan Hassanal Bolkiah (tengah) pada sesi santapan di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama ekonomi , Sabah, Sarawak pemacu utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Malaysia dan Brunei sepakat memperkukuh kerjasama ekonomi khususnya dengan negeri Sabah dan Sarawak sebagai pemacu kemakmuran bersama dan integrasi serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam kenyataan bersama menegaskan, kerjasama erat itu akan diperluaskan melalui inisiatif strategik dalam bidang tenaga, kesalinghubungan, pertanian, pelancongan dan industri halal.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin berpandangan kerjasama lebih menyeluruh akan dapat memanfaatkan sumber bersama di Borneo, selain kedudukan geografi yang strategik bagi memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan kepada rakyat.

“Kami komited untuk memperkukuh inisiatif strategik yang memberi manfaat terus kepada rakyat, di samping memastikan pembangunan seimbang yang dapat melonjakkan lagi peranan Sabah dan Sarawak dalam integrasi serantau,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut mengiktiraf perbincangan berterusan antara Brunei dan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai kerjasama tenaga rentas sempadan.

Mereka mengalu-alukan kemajuan projek sambungan tenaga antara Lumut, Kuala Belait dan Tudan yang bukan sahaja menjamin bekalan tenaga boleh dipercayai, malah membuka peluang perdagangan kuasa elektrik dua hala dalam kalangan negara ASEAN.

“Kedua-dua pemimpin juga menekankan peranan penting sektor swasta dalam memperkukuh hubungan ekonomi serantau.

“Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan penubuhan Majlis Perniagaan Bersama Brunei–Sabah dan Majlis Perniagaan Bersama Brunei–Sarawak, termasuk mesyuarat sulung majlis berkenaan yang diadakan di Kota Kinabalu pada 8 Oktober tahun lalu,” kata kenyatan itu.

Kedua-dua pemimpin turut menyatakan kepuasan terhadap kerjasama erat yang terjalin dalam sektor tenaga melalui Commercial Arrangement Areas (CAA) antara PETRONAS dan Petroleum Authority of Brunei Darussalam serta menggesa agar pelaksanaan projek bersama dipercepatkan.

Kedua-dua pemimpin turut mengiktiraf kerjasama antara Unified National Network (Brunei Darussalam) dan Sacofa (Sarawak) untuk menandatangani perjanjian baharu selama 7 tahun pada 2026 berhubung model pajakan jalur lebar dalam sektor telekomunikasi melalui susunan perniagaan ke perniagaan (B2B).

Kedua-dua Pemimpin menegaskan kepentingan kesalinghubungan antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak sebagai asas kepada integrasi ekonomi serta pertukaran rakyat dengan rakyat.

“Mereka mengalu-alukan usaha Kerajaan Brunei dan Royal Brunei (RB) dalam meningkatkan sambungan udara ke Sabah dan Sarawak.

“Mereka juga mengalu-alukan MoU antara RB dan Lembaga Pelancongan Sabah yang ditandatangani pada 30 Jun lalu di Kota Kinabalu, bertujuan merancakkan sektor pelancongan serta mengembangkan rangkaian penerbangan ke rantau penting termasuk BIMP-EAGA, ASEAN, Timur Tengah, Oceania, United Kingdom dan India menjelang 2028,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI